Monday 24 March 2008

Terlajak Perahu Masih Boleh Diundur

Soalan

SAYA lelaki yang sangat cerewet dalam memilih pasangan. Gadis idaman saya mestilah cantik dan berkulit cerah. Perkenalan saya dengan Su yang pada asalnya hanya kawan menjadi semakin intim sehinggakan kami terlanjur.

Atas rasa tanggungjawab, saya melamar Su. Kedua-dua keluarga merestui dan akhirnya kami sah menjadi suami isteri. Sebenarnya, Su bukan gadis idaman saya. Dia berkulit gelap, tetapi manis dan sentiasa ceria.Kelebihan Su ialah dia sentiasa membuatkan orang di sekelilingnya tertarik untuk mendengar keletahnya. Mungkin sebab itu saya tertarik untuk berkawan dengannya pada awal perkenalan kami.

Selepas dua tahun berkahwin, saya ditukarkan ke selatan tanah air. Di sana saya bertemu Anis, gadis yang memiliki ciri-ciri idaman. Orangnya cantik, berkulit cerah dan pemalu. Untuk memikatnya, saya mengaku masih bujang.Saya tidak bertepuk sebelah tangan kerana dia juga menyukai saya.

Tanpa berfikir panjang serta dalam keadaan mabuk cinta, saya menghantar SMS cerai kepada Su. Kelam kabut keluarga Su dan keluarga saya mencari saya.Dalam perbincangan tegang, saya berterus terang akan melamar Anis dan melepaskan Su supaya tidak terluka. Semoga ada lelaki lain boleh membahagiakan Su memandangkan kami belum ada anak.Berulang kali Su menelefon saya, tetapi saya tidak menjawabnya. Banyak SMS yang dia hantar bertanyakan apakah salahnya, tetapi saya tidak membalasnya. Akhirnya Su tidak lagi menghubungi saya dalam tempoh proses perceraian kami.

Selepas enam bulan bercerai dengan Su, saya dan Anis disatukan dalam majlis sederhana. Lima bulan bersama Anis, saya mula merasai kekurangan. Walaupun memiliki ciri-ciri gadis idaman saya, dia terlalu pendiam. Sepatah saya tanya, sepatah dijawab.Anis juga sangat cemburu, menyebabkan saya menjadi rimas. Saya mula merindui keletah Su. Sepanjang dua tahun bersama Su, saya tidak pernah berasa sunyi dengannya. Satu perkara lagi yang menyebabkan saya sangat merindui Su ialah prestasi hebatnya di ranjang.Berbanding Su, Anis sangat pemalu dan tidak dapat memberi kepuasan maksimum kepada saya. Berulang kali saya mengajarnya dengan memberi bahan bacaan yang berkaitan, tetapi jawapan Anis ialah dia malu.

Ada beberapa kali saya menghubungi Su melalui telefon dan dia tetap melayan saya dengan baik, seolah-olah tiada rasa benci dalam nada suaranya.Setiap kali menghubungi Su, saya rasa tenang dan lega kerana celotehnya membuat saya terhibur.Bagaimanapun, saya tahu jauh di sudut hati Su dia terluka dengan perbuatan saya kerana banyak kali dia memberi alasan sibuk jika saya mahu berbual panjang dengannya.

Baru-baru ini saya mendapat tahu Su dipinang seorang jejaka yang juga kenalan saya. Saya menjadi cemburu dan yang paling menyakitkan ialah saya tidak dapat menerima hakikat suaminya nanti akan mendapat layanan hebat daripada Su.Kini, saya menyesali tindakan lalu. Baru saya sedar kecantikan luaran bukan kayu ukur kepada kebahagiaan. Bantulah saya menyelesaikan masalah ini kerana saya benar-benar merindui dan mencintai Su serta mahu kembali kepadanya.ZK

Jawapan

Hakikatnya, tidak banyak yang Dang Setia mahupun saudara boleh lakukan untuk menjadikan keadaan memihak kepada saudara atau lebih tepat lagi untuk membolehkan Su menjadi kembali milik saudara. Apa yang saudara alami kini menepati bidalan ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’.

Maaf, Dang Setia tidak bermaksud menyakitkan hati atau menambah kekecewaan saudara, namun mahu mendidik saudara supaya bersikap lebih matang, belajar memperbaiki kelemahan diri dan menerima baik serta buruk kehidupan ini dengan seadanya.Tentu tidak adil dan bukan tindakan bijak untuk saudara kini bertungkus lumus berusaha memiliki semula Su dalam keadaan diri saudara menjadi suami Anis dan Su pula bakal mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihannya.Jika saudara masih cuba ‘berjuang’ untuk mendapatkan Su, itu bermakna saudara sekali lagi mengulangi kesilapan sebelum ini iaitu bertindak terburu-buru mengikut nafsu yang besar kemungkinan mencetuskan masalah lain pada masa depan.

Yang ingin Dang Setia tekankan di sini ialah, satu kelemahan atau kesilapan saudara sehingga mencetuskan permasalahan sekarang ialah melakukan tindakan tanpa berfikir panjang atau terlalu mengikut kata hati serta nafsu.Buktinya jelas. Pertama, saudara mengatakan Su bukan wanita yang memiliki ciri-ciri pilihan saudara, tapi disebabkan dorongan hawa nafsu, anda berdua akhirnya terlanjur hingga akhirnya terpaksa berkahwin.Kedua, selepas menemui Anis, saudara terus lupa diri. Disebabkan kemaruk asmara, saudara tanpa berfikir panjang terus menceraikan Su hanya dengan cara menghantar SMS.Ketiga, akibat tindakan saudara itu keluarga Su dan keluarga saudara kelam kabut. Mereka datang memujuk saudara, tapi sekali lagi saudara tidak mahu berfikir panjang, sebaliknya hanya mengikut hati dan nafsu. Pujukan mereka saudara tolak, malah cubaan Su untuk menghubungi saudara juga tidak dilayan.Akibat sikap tidak berfikir panjang dan bertindak terburu-buru itu, saudara akhirnya terhimpit dalam masalah yang dialami kini.

Oleh itu, bagi Dang Setia, saudara tidak boleh menyalahkan orang lain di atas apa yang berlaku kerana segala-galanya disebabkan kesilapan sendiri. Atas sebab itu Dang Setia berharap kali saudara dapat bersikap lebih matang.Maksudnya, disebabkan saudara bersalah, saudara perlu reda menerima ‘hukuman’ di atas kesalahan itu. Dalam situasi begini, tindakan paling wajar ialah muhasabah diri dan berusaha sebaik mungkin untuk memperbaiki kelemahan diri.Selepas apa yang berlaku, sewajarnya saudara menginsafi kesilapan ketika memilih isteri sebelum ini iaitu menjadikan kecantikan fizikal sebagai kriteria utama, bukan kepatuhan terhadap agama sebagaimana disyariatkan Islam.

Yakinlah apabila Allah menyarankan kita melakukan sesuatu, pasti ia untuk kebaikan kita dan kita tidak akan rugi jika mengikut saranan Allah.Ini termasuk dalam soal memilih isteri. Jika kita memilih isteri dengan mengutamakan kepatuhan agamanya dan bukan atas dasar kecantikan atau harta, rumah tangga kita akan lebih sempurna.Selain itu, kita harus percaya jika kita mengutamakan ajaran Islam dengan menjadikannya garis panduan dalam apa jua yang kita lakukan, hidup kita lebih berkat untuk memperoleh kejayaan bukan saja di dunia tetapi juga akhirat.Justeru, dalam situasi saudara pada masa ini, Islam mengajar kita supaya reda menerima apa yang berlaku, mensyukuri apa yang kita ada dan jangan bersikap cemburu atau dengki dengan kenikmatan yang diperoleh orang lain.Maksudnya di sini, saudara harus melupakan kisah silam kehidupan bersama Su.

Saudara kini memiliki Anis sebagai isteri yang sah, jadi layari kehidupan berumah tangga sebagai mungkin dengannya.Jangan jadikan nafsu sebagai pengukur utama kebahagiaan rumah tangga. Memang ia penting, tapi ia bukan satu-satunya penentu kebahagiaan.Dang Setia bimbang, jika selepas ini saudara mencari isteri lain yang hebat di ranjang, tiba-tiba saudara dapati dia lemah pula dalam soal lain, seperti mengurus rumah tangga dan sebagainya.Jadi, atasi masalah kedinginan seksual isteri saudara dengan bijak. Jika perlu, saudara dan isteri boleh merujuk masalah isteri anda kepada doktor pakar untuk mendapat kaedah atau pendekatan lain.

Sajak PRU 12

Kalau aku jadi Pak Lah
Aku mengaku salah
Jawatan PM aku serah
Aku sedar dan pasrah
Orang tak mau aku dah
Parti aku terima padah
Aku sedar yang aku lemah
Selama ini aku ambik mudah
Aku bukan ikut nafsu
Walaupun cuma pegang bahu
Tidak lebih daripada itu
Punca sebenar ialah menantu
Dia yang buat benda tak menentu
Berlagak macam pemimpin nombor satu
Lesen besar sebab guna nama aku
Jaja habis dari Perlis hingga Johor Baru
Aku sedar susah nak letak jawatan
Sebab masih ada banyak kepentingan
Kamaludin masih tak habis makan
Skomi kena selesai semua pinjaman
Sebab selepas ini tiada jaminan
Laki Nori pula nak jadi Menteri Kewangan
Tapi aku dapat banyak tentangan
Mula-mula Mukhriz yang mulakan
Tulis surat bagi aku dapat kemaluan
Macam Mahathir buat kat Tunku Rahman
Entahlah zaman aku jadi tak ketahuan
Pilihan aku sebenarnya ialah Shahidan
Tapi Raja Perlis pula tak perkenan
Sebab Shahidan potong elaun keraian
Idris Jusof pula tak diperkenan Sultan Mizan
Buat pintu gerbang tak bagi tau Sultan
Aku tidak dapat kawal semua keadaan
Hidup aku semakin tertekan
Cuma Jin saja penyejuk badan

Keris Silau

Penawar Duka

Kenapa aku diuji?
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta”.(Surah Al-Ankabut ayat 2-3)

Kenapa aku tak dapat apa yang aku idam-idamkan?
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui”.(Surah Al-Baqarah ayat 216)

Kenapa ujian seberat ini?
“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya” .(Surah Al-Baqarah ayat 286)

Kenapa rasa kecewa?
“Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman”.(Surah Ali Imran ayat 139)

Bagaimana harus aku menghadapinya?
“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) , dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, (di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan)”.(Surah Ali Imran ayat 200)

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”.(Surah Al-Baqarah ayat 45)

Apa yang aku dapat daripada semua ini?
“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka…”(Surah Al-Taubah ayat 111)

Kepada siapa aku berharap?
“….. Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakal…..” . (Surah Al-Taubah ayat 129)

Aku dah tak dapat bertahan lagi!
“….. dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir”.(Surah Yusuf ayat 12)